Perkara yang diharamkan dalam perniagaan 
  
 Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia 
tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada 
prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia 
terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara 
dalam aktiviti pernigaan. Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti 
perniagaan ialah:
  
1. Riba.
 
Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang 
menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari 
Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib 
dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam 
al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.
  
 Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi)
 dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Di dalam surah 
al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan
 riba. Firman Allah, mafhumnya:Wahai orang-orang yang beriman! 
bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) 
saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika 
benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga 
melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: 
akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak 
menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang 
sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu 
tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh 
sesiapa. (Surah al-Baqarah: 289).
  
 Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan 
sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang 
mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang
 bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat
 pelaburan dan seumpamanya.
  
2. Memeras ugut dan megambil harta dengan cara yang batil
 
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil 
harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Megambil harta orang 
lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai 
cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan
 seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan 
sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh 
mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur 
yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
  
 Pengharaman perbuatan seumpama memeras ugut dan megambil harta orang 
lain dengan cara yang batil ini, jelas disebutkan dalam sural al-Nisa 
ayat 29 mafhumnya:  (Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu 
makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah 
(tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang 
dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu 
berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani
 kamu).
  
 Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa  Allah SWT 
melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan 
cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie 
seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah 
yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir
 al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr 
wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).
  
3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.
 
Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan 
strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun 
perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka 
sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk 
penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk 
kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.
  
 Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti 
memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal 
dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.
  
 Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan 
nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan 
“demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya 
hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah 
sebaliknya.
 عَنْ  أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ 
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  مَرَّ عَلَى  صُبْرَةِ  طَعَامٍ فَأَدْخَلَ 
يَدَهُ فِيهَا  فَنَالَتْ  أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا 
صَاحِبَ الطَّعَامِ ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . 
قَال َأَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ  مَنْ
 غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي. أي : من غش فليس على دينيى الكامل. رواه مسلم
 Maksudnya:
 Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui 
setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam 
timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah
 SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu 
menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW.  Seraya 
Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah 
atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu 
maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).
 عَنْ  أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ 
اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَقُولُ إِيَّاكُمْ 
وَكَثْرَةَ الْحَلِفِ فِي الْبَيْعِ فَإِنَّهُ يُنَفِّقُ ثُمَّ  
يَمْحَقُ. أيْ: فأن كثرة الحلف فى البيع قد يؤدي ألى  رواج السلعة إلا أنه بعد ذلك إلى  يُزِيل الْبَرَكَتها.
  Maksudnya:
 Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah 
mendengar rasulullah SAW bersabda, awas kamu dari banyak bersumpah dalam
 berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga 
boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan 
barakahnya.
  
 Berpandukan kepada dua hadis ini, sebagai peniaga yang beriman dan 
berpegang teguh kepada ajaran agama ia hendahlah mengelak dari sebarang 
bentuk penipuan dan banyak bersumpah dalam keghairahan melariskan 
barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.
  
4. Rasuah.
 
Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh 
berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan. 
Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table
 ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka 
dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu 
mendapat projek dan peluang pernigaan yang lebih luas, memudahkan 
perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.
  
 Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu 
dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan 
seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. 
Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu 
dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula
 adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala 
dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang 
dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih 
sayang.
  
 Rasuah kadangkala membawa keuntungan yang berlimpah, namun mesti 
diingat bahawa ia juga akan menghakis keberkatan dalam perniagaan, 
bahkan mereka akan mendapat laknat daripada Allah SWT. Dalam sebuah 
hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah,Rasulullah SAW bersabda:
 عَنْ  عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو  قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي 
وَالْمُرْتَشِي.
 Maksudnya:
 Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.
  
 Gejala rasuah dalam semua situasi dan kondisi termasuk dalam 
menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam 
dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang 
beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan 
kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.
  
5. Memonopoli barangan (ihtikar).
 
Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang
 dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti gula, beras, 
minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan 
keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya harga barangan tersebut 
dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, 
perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan 
terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan 
kemudharatan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan 
miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.  Dalam satu hadis Rasullah 
SAW bersabda; 
 عن معمر أن النبي (ص) قال: " من احتكر فهو خاطئ" . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. رواه مسلم.
 Maksudnya:
 Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli
 barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah 
tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
  
 Menurut Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Qayyim, antara bentuk monopoli 
yang diharamkan juga boleh berlaku dengan cara para perniaga bersepakat 
antara satu sama lain bagi menjual barangan dengan harga yang lebih 
tinggi dari harga pasaran.
  
 Hikmah diharamkan perbuatan monopoli ini adalah bagi menolak 
kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum. Para fuqaha telah 
berijmak pendapat bahawa sekiranya seseorang mempunyai makanan yang 
tidak ada pada orang lain; sedangkan orang lain sangat memerlukannya, 
maka dalam situasi seumpama ini diharuskan bagi pemerintah untuk memaksa
 pemilik makanan tersebut supaya menjual makanan yang berada dalam 
simpanannya. Tujuannya adalah bagi menolak kemudaratan terhadap 
masyarakat. (Al-Banhawi, Mohd Abdul fattah, Fiqh al-Muamalat Dirasah al-Muqaranah, Jamiah al-Azhar, Tanta, 1999, hlm. 223)
  
6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan.
 
Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut 
para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan 
pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. 
Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk
 juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, 
perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.
  
 Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan
 timbangan ini,  Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian
 di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:Kecelakaan besar bagi 
orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang
 apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka 
mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau
 menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
  
 Terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan 
timbangan dalam aktiviti pernigaan. Antaranya firman Allah dalam surah 
al-Isra’ ayat 35, mafhumnya: dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu
 menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu 
baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang 
mendatangkan pahala di akhirat kelak). Dalam surah al-Rahman ayat 9, Allah SWT berfirman, Maksudnya: dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
  
 Semua ayat tersebut memerintahkan agar disempurnakan timbangan dan 
sukatan. Bahkan dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut 
menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi 
mereka yang berbuat demikian. Namunpun demikian, wajar diingatkan bahawa
 sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh 
menyebabkan turunnya bala dan azab Allah SWT, sebagaimana berlakunya 
terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.
  
7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak.
 
Sebagaimana dijelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk
 aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang dan menegah sama 
sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan 
curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk 
tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan
 ketakwaan. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
 عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : « من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها »
 Maksudnya:
 Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda 
bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui 
barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) 
pada aib dan dosanya.
  
 Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada
 pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan 
menggunakannya untuk memudharatkan orang Islam. Jual beli dalan situasi 
seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat
 dosa dan permusuhan. Perihal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah 
SAW: 
 ابْنَ عُمَرَ  يَقُولُ قَالَ رَسُول ُاللَّهِ صَلَّى اللَّه 
ُعَلَيْه ِوَسَلَّمَ  لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا 
وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا  وَمُبْتَاعَهَا  وَعَاصِرَهَا 
وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
 Maksudnya:
 Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW bersabda, Allah melaknat arak, peminum, penghidang, penjual, pembeli, pemerah, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya”
 عَنْ عِمْرَانَ بن حُصَيْنٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"نَهَى عَنْ بَيْعِ السِّلاحِ فِي الْفِتْنَةِ
 Maksudnya:
 Dari Imran bin Husain, “Sesungguhnya Rasulullah melarang menjual senjata ditengah berlangsungnya fitnah (perselisihan)”
  
 Seumpama itulah juga, haram dan berdosanya perbuatan menjual apa-apa 
barangan yang membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada 
tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan 
sebagainya.
  
8. Haram menjual najis.
 
Telah berlaku Ijma’ dikalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk 
perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, 
bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan 
barangan najis ini kerana ianya boleh mendatagkan mudarat dan kerosakkan
 dimuka bumi.
 عن جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ  يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ  
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ 
اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ  حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ 
وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ… 
 Maksudnya:
 Dari Jabir bin Abdullahkatanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW 
bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan 
Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung 
berhala.