Persoalan 1 :
"Saya kenal dia melalui FB. Dah lama gak kami berkawan, ada la nak dekat
setahun. Hubungan kami memang intim. Tapi setakat ni ringan-ringan
lagi. Kadang-kadang tu...memanglah takut. Tapi nak wat camne? Saya
sayang giler kat dia"
Persoalan 2 :
"Saya dah sedar zina tu dosa dan nak bertaubat. Tapi......Saya masih
sayang lagi kat dia. Takkan saya nak tinggalkan dia setelah dah berzina
dengan dia?"
"Sedihnya...Ni la yang confius ni. Niat ni memang nak taubat. Tapi
kenangan yang lama tu ganggu nak taubat. Nak tinggal ke nak terus kan
dengan dia? Kalu nak tinggal, mane tanggungjawabnya?"
Persoalan 3 :
"Dah hampir 8 bulan saya putus ngan BF saya, tapi sampai skang still
lagi teringatkan kenangan kami bersama. Ada masa tu memang tak tahan.
Mmmmm...nak tanya ckit, apa hukum onani? Huhu...."
AWAS! NAK COUPLE BOLEH, TAPI JAWAB DULU SOALAN2 INI
Bagi mereka yang sedang, belum atau sudah terjebak dengan "keindahan
bercouple", sama ada yang zahir atau pun yang batin silalah menjawab
soalan-soalan ini pula :
1. Bumi ini, diri kita dan si dia siapa yang cipta? Tidakkah kita melanggar perintah Allah SWT?
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan." (Surah
al-Isra’ 17: 32)
Fahamilah bahawa Allah tidak menggunakan ungkapan "jangan kamu berzina" tetapi digunakan "jangan kamu
MENGHAMPIRI zina". Bercinta sebelum kahwin adalah perbuatan yang menghampirkan seseorang itu kepada perbuatan keji tersebut.
Mengapa ye?
2. Tidakkah kita bersetuju bahawa :
Bercinta adalah
langkah pertama kepada berlakunya zina. Bila
seseorang telah memulakannya maka dia telah memasuki perangkap yang
dipasang oleh syaitan sebagaimana hadis Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya Allah menetapkan atas anak Adam bahagian
daripada zina. Dia pasti akan mendapatnya. Maka, zinanya mata adalah
dengan memandang (yang haram) dan zina lisan adalah dengan berbicara.
Sementara jiwa itu berangan-angan dan berkeinginan, sedangkan kemaluan
yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (al-Bukhari dan
Muslim)
3. Ketika kita bercinta atau tengah "dating", mata kita tengok kat mana? Ada rasa terujakan?
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada laki-laki yang
beriman : "Hendaklah mereka menahan sebagian pandangan mata mereka dan
memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan
katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman : "Hendaklah mereka menahan
sebagian pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka…"
(Al-Nur: 30-31)
Setuju tak?
Sesiapa yang terlibat dengan budaya bercinta tidak akan mampu untuk
menjaga pandangan mereka daripada melihat kepada pasangannya dan
alangkah banyaknya dosa yang telah mereka lakukan
4. Ketika janji nak "dating" ada tak ingat pesan Nabi kita?
“Tidaklah sekali-kali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” (a-Tirmidzi)
Untuk apakah syaitan menemani?
Tiada tujuan lain melainkan untuk menghasut mereka agar melakukan perbuatan keji iaitu zina.
5. Bila nak cari tempat "dating" ada baca tak larangan daripada Nabi ni?
“Sekali-kali tidak boleh seorang laki-laki bersepi-sepi
dengan seorang wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya.” (al-Bukhari
dan Muslim)
6. "Opsss!! Sori tersentuh tangan. Hehe..." Itu mula-mula, lama-lama dah
biasa kan? Tersentuh bahu ada tak? Duduk rapat-rapat? Memanglah beralas
tapi tak dosa ke?
"Ditusuk dengan besi di kepala seseorang lelaki lebih
baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya." (
al-Tabarani)
Adakah orang yang bercinta ini tidak akan menyentuh pasangannya?
Sekiranya tidak, maka hebat benar iman orang tu!
7. Dalam seminggu, sebulan berapa kali top up handphone?
"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara
syaitan.” Demikian gambaran atau kedudukan orang yang membazir di sisi
Allah (al-Isra’ 27).
Melakukan pembaziran masa dan harta berdasarkan wang yang dihabiskan
untuk menghantar sms, mms atau menghabiskan banyak masa untuk
‘chatting’melalui internet, sehingga ada pelajar yang sanggup "berpuasa"
untuk berjimat duit belanja sekolah untuk memenuhi tujuan tersebut.
Kalau pelajar universiti, bila duit biasiswa atau PTPTN masuk, terus keluar berjoli, dengan siapa ye?
Duit yang diberi tu amanah kan?
8. Kadang-kadang baca buku tak masuk kepala, kenapa ye? Kenapa hati
susah menerima ilmu? Ilmu itu cahaya, kalau hati kotor dan gelap,
bagaimana cahaya mahu menembusinya?
Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Syed Waqi'
tentang kesusahan dirinya untuk menghafal Al Quran . Gurunya menyuruh
Imam Syafie meninggalkan segala dosa besar dan dosa kecil kerana :
"Sesungguhnya ilmu itu cahaya, sedangkan cahaya ALLAH SWT itu tidak dikurniakan kepada orang yang melakukan dosa dan maksiat".
Hilang keberkatan dalam menuntut ilmu kerana dosa yang banyak dilakukan
menyebabkan hati sukar untuk menerima ilmu. Ilmu hanya menghuni di hati
yang suci bersih.
Walaupun kita pandai, tapi berkat tak ilmu tu?
9. Prestasi belajar kita pula bagaimana? Ada orang kata boleh mengganggu
tumpuan dalam pembelajaran disebabkan asyik teringatkan ‘buah hati’,
betul ke?
"Maka apabila mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu
mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mereka
itu mempunyai telinga dan dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana
sesungguhnya bukan mata itu yang buta tetapi yang buta adalah hati yang
di dalam dada." (Al-haj, ayat 46)
Benar cinta itu buta, sampaikan hati juga menjadi buta. Buta hati.
10. Apa perasaan ibu bapa kita kalau nampak anak mereka di sekolah, di
universiti seronok berkasih-kasihan dengan kekasih hati? Apa perasaan
mereka kalau dapat tahu anaknya sudah terlanjur?
"Membohongi kedua ibubapa kerana harapan mereka untuk
melihat anaknya cemerlang dalam akademik tetapi terpesong kepada
cemerlang dalam mencari pasangan hidup pada usia yang muda. Apatah lagi
sekiranya maruah dirinya tergadai dan hilang kehormatan diri. Tidak
mampu dibayangkan betapa kecewanya mereka."
Mak telefon hari ahad, tanya kita kat mana. Kita jawab sedang belajar di
bilik, padahal sedang berseronok keluar dengan kekasih di bandar.
11. Kalau cikgu atau pensyarah dapat tahu kita belajar main-main, tak
fokus dalam kelas, tak siap assignment sebab sibuk bercinta, tak
terguriskah hati mereka?
"Menyakiti hati guru dengan melaksanakan perkara haram
tersebut. Tiada seorang pun guru ingin melihat anak didiknya gagal dalam
pelajaran atau tercemar maruah dirinya disebabkan tindakan bodoh masa
remajanya yang tidak dapat dikawal."
12. Setuju tak? Bila bersama dengan kawan kita kurang berbuat dosa, tapi
bila bersama kekasih banyak dosa kita buat. Sampaikan hati yang rasa
bersalah pada mulanya semakin lama sudah tidak rasa bersalah, malah
sudah tidak malu untuk buat dosa tersebut. Hati rasa seronok berbuat
dosa.
"Bila dosa semakin menimbun, Allah janjikan neraka,
ekoran banyak melanggar perintah Allah SWT dan amaran Rasulullah SAW.
Lebih buruk lagi sekiranya mereka meninggal dunia dalam keadaan tidak
bertaubat kepada Allah SWT." Naudzubillah!
13. Solat kita khusyuk tak?
Sentiasa lalai dan leka daripada mengingati Allah SWT. Akal dan hati
fikiran tidak lagi mengingati Allah hatta ketika dalam solat sekalipun
kerana jiwanya yang cenderung kepada mengingati pasangannya. Oleh yang
demikian tiada ketenangan dalam jiwa mereka kerana ketenangan yang
sebenar hanyalah dengan mengingati Allah SWT.
14. Mengapa hati tak tenang dalam setiap perkara kita lakukan? Hanyalah dengan mengingati Allah hati akan tenang.
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". (Ar-Ra'd : ayat 28)
15. Bila nasi sudah menjadi bubur, boleh tak bubur nak jadi nasi semula?
Hilang maruah dan harga diri kerana terlanjur melayan perasaan cinta
tersebut. Telah terbukti gejala seks bebas yang menimpa remaja pada masa
kini semuanya bermula dengan bercinta pada usia muda. Lebih parah lagi
mereka menjadi ketagih dengan zina. Jika tidak dapat berzina mereka
sanggup beronani untuk menghilangkan kergersangan. Dosa besar yang
mereka lakukan ini menyebabkan iman tercabut daripada hati mereka dan
tunggulah azab yang pedih di neraka.
16. Kalau sudah berumahtangga nanti, suami dapat tahu bagaimana pula?
Ikatan perkahwinan yang akan datang menjadi keruh sekiranya suami
mengetahui sejarah silam pasangannya yang pernah bercinta dengan orang
lain. Pelbagai andaian buruk akan terbayang dalam fikirannya.
Adakah pasangan yang bercinta pada zaman persekolahan atau zaman
universiti akan kekal hingga ke alam perkahwinan? Apakah perasaan
sekiranya dapat tahu suami atau isteri pernah bercinta dengan orang lain
sebelum ini?
17. Adakah kita tahu mengapakah kite semua diciptakan oleh Allah
di dunia ni? Allah tak menciptakan kita hanya suka-suka. Hanya untuk
enjoy dan suka-suka.
"Maka apakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu
secara main-main (tanpa maksud), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan
kepada Kami?"-Surah Al-Mukminun (23):115
Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk beribadah dan juga mengabdikan diri kepada Allah SWT.
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku." -Surah Adz-Dzariyat (51):56..
Bercinta selepas kahwin itu
beribadah, bercinta sebelum kahwin itu
bermaksiat.
REMAJA, ZINA DAN SEKS
Pergeseran kefahaman seperti dosa masing-masing tanggung, kubur
masing-masing jaga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang mula
dipandang remeh. Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada
manusia sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga
binatang dan tumbuh-tumbuhan.
Memang patut kalau manusia ghairah seks atau berasa hendak melampiaskan keinginan seksual itu.
"Tapi jangan jadi binatang!"
Allah beri manusia akal yang sihat lagi cerdik berbanding binatang.
Anugerah seks yang Allah beri perlu disyukuri dengan cara paling hormat!
Malah Allah sesekali tidak melarang manusia melampiaskan
hawa nafsunya selama mana cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak
terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah. Ikatan pernikahan adalah
jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk melepaskan kemahuan seks.
Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan
seksnya.
Susahkah berkahwin?
Sebagai satu agama yang amat hebat, Allah yang Maha Cerdik menampilkan
cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual,
iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang banyak kali kita baca ,
perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’
Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya.
Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi
penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram. Kalau ada
pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan
pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan
dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.
TAKUT JADI REMAJA?
Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut Nabi dalam
satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan
menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, “sesungguhnya aku takut kepada Allah.
Sebagai seorang pelajar kenanglah jasa ayah dan ibu yang bersusah payah
membesar kita. Balaslah jasa mereka, buktikan kepada mereka, dan jadilah
anak yang soleh solehah yang berjaya di dunia dan akhirat.
"Jika kita tidak disibukkan dengan urusan kebaikkan, nescaya kita akan disibukkan dengan urusan kebatilan." - Hassan Al-Basri
Maka, sibukkanlah diri kita dengan belajar dan "berkerja" untuk Islam.
Pasti dan insyaAllah kita akan terselamat daripada perangkap syaitan
mahu pun perkataan yang bergelar "onani".
Perlu diingatkan bahawa :
"Syaitan akan menjadikan mereka yang terlibat dengan
budaya couple ini merasakan perkara haram itu banyak memberi banyak
kebaikan kepada mereka. Maka pelbagai alasan diberikan untuk
menghalalkan perbuatan mereka.
Antara
alasan yang diberikan ialah untuk semangat belajar, hilangkan tension,
senang nak mengadu masalah, peneman di waktu kesepian, hilangkan boring,
untuk menenangkan fikiran, tidak ingin ketinggalan zaman, untuk
memudahkan ‘study group’ dan beribu alasan lagi.
Semua itu adalah tipu helah dan jerangkap samar yang dipasang oleh syaitan untuk memerangkap remaja Islam masa kini."
Amalkan lah langkah pencegahan menurut Islam :
1. Jaga pandangan mata dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta filem pornografi.
2. Tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram di tempat sunyi.
3. Tidak bersentuhan kulit antara lelaki wanita termasuk bersalaman.
4. Tidak bergaul bebas lelaki wanita tanpa batas.
5. Tidak melayan orang yang tidak dikenali di FB kerana ramai sudah "terbabas."
Wallahu’alam bissawab