Rawatan dan Amalan Berbekam
Waktu Bekam
Waktu berbekam - Paling baik ketika pertengahan bulan kerana ketika ini,
darah toksik berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada
bila-bila masa bertujuan mengubati penyakit.
Mereka yang hendak berbekam dinasihat tidak makan makanan berat antara
dua hingga jam sebelum berbekam dan lebih baik berpuasa sebelum
berbekam.
Alat bekam
* Pada zaman Nabi Muhammad, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk
berbekam, manakala orang Cina pada zaman kuno, menggunakan tanduk. Orang
Eropah pada abad ke-18 menggunakan lintah untuk menghisap darah toksik
dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat di Barat hingga
sekarang.
* Ketika masih ada pengamal bekam menggunakan kaedah tradisional,
perubatan bekam mula menerapkan unsur moden melalui penggunaan alat
seperti mangkuk, pisau pembedahan, bahan antiseptik, manakala pengamal
bekam menggunakan sarung tangan yang sama seperti pengamal perubatan
moden.
Larangan berbekam
* Tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri boleh memudaratkan
kesihatan. Mereka termasuk yang mempunyai masalah tekanan darah rendah,
pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, masalah kulit yang
serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang.
* Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.
Kebaikan berbekam
* Membantu menghilangkan pening dan migrain.
* Membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
* Membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
* Membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
* Membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
* Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah tersumbat.
* Membantu meringankan tubuh. Darah kotor terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas.
* Membantu menajamkan penglihatan. Peredaran darah ke mata yang tersumbat menyebabkan penglihatan kabur.
* Dikatakan dapat merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72
jenis penyakit dapat disembuhkan seperti ketegangan urat, darah tinggi,
jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar,
sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.
Jenis bekam
Bekam kering
Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa
mengeluarkan darah toksik. Biasanya orang tidak tahan suntikan jarum
atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang
dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga
hari.
Bekam basah
Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum
tajam. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Setiap
kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima
minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan
berbuih. Mereka yang berbekam dinasihat tidak mandi selama tiga jam
selepas berbekam.
Keinginan hidup sihat dan kelihatan cantik menyebabkan manusia
berikhtiar dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat itu. Tidak cukup
dengan perubatan moden, perubatan tradisional atau alternatif turut
menjadi pilihan.
Pernahkah anda mengamalkan bekam bagi mengeluarkan darah dan angin kotor
agar tubuh menjadi lebih sihat? Bekam dalam istilah Melayu membawa
maksud mengeluarkan angin dalam badan atau pelepasan darah kotor
daripada badan, manakala dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai
al-Hijamah, iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan
mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan.
Walaupun perkembangan industri kecantikan dan penjagaan diri semakin
canggih, terbukti bekam masih menjadi tumpuan sebagai rawatan alternatif
bagi memberi keseimbangan tubuh badan. Ia juga didakwa mampu
menyembuhkan kira-kira 72 jenis penyakit dan disenaraikan sebagai kaedah
rawatan alternatif.
Pengamal kaedah perubatan bekam, Noraini Tumijan menjelaskan bekam
adalah amalan sunnah yang hampir dilupakan orang Islam sendiri.
Sambungnya, berbekam adalah terapi perawatan yang mampu menyembuhkan
pelbagai penyakit yang disyorkan Nabi Muhammad SAW dan direstui
amalannya oleh Allah SWT. Ada beberapa jenis bekam diamalkan di dunia
seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam
elektronik dan bekam akupuntur.
"Hampir 60 peratus bekam yang diamalkan di seluruh dunia adalah bekam
kering (angin). Bekam angin pula terbahagi kepada beberapa jenis iaitu
magnet dan akupuntur (aku-bekam). Bekam jenis ini tidak menyakitkan dan
amat sesuai digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti
sakit kepala, muntah, resdung, masalah hati, sakit belikat, urat saraf,
sakit leher, berdengkur, buah pinggang, buasir dan pelbagai lagi,"
katanya ketika ditemui di premis miliknya di Pusat Bandar Baru Bangi,
Selangor, baru-baru ini.
Noraini berkata, bekam basah atau bekam darah pula menguasai 30 peratus
teknik berbekam dan terbahagi kepada dua iaitu bekam darah moden dan
bekam darah sunnah (mengikut sunnah Rasulullah). Perbezaan ialah bekam
moden menggunakan jarum, boleh dilakukan mengikut kelapangan pesakit
tidak mengira waktu, sekerap dua kali seminggu dan tidak kisah jika
pengamalnya lelaki atau perempuan.
"Seiring perubahan zaman, jika dulu kaedah berbekam menggunakan pelbagai
alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh dan gelas. Kini,
teknologi bekam menggunakan alat lebih moden dan ringkas menerusi
berbentuk gelas dibuat daripada kaca yang bersih dan bebas hama,"
katanya.
Seperti juga rawatan lain, amalan berbekam harus dimulakan dengan
memeriksa badan pesakit. Bagi mereka yang arif soal berbekam mereka
mampu mengetahui keadaan pesakit hanya dengan menekan urat tertentu di
badan pesakit.
Katanya, teknik bekam yang diperkenalkannya selamat, tidak sakit dan
berbahaya dan mendakwanya berkesan mengubati dan mencegah penyakit.
Dalam jangka masa singkat, bekam didakwanya mampu memperbaiki dan
menjadikan tubuh lebih sihat.
"Daripada sentuhan berkenaan, penyakit akan dapat dikesan melalui
kehangatan bahagian kulit pesakit yang akan mengeluarkan haba. Kaedah
yang kedua melalui pemerhatian. Melalui kaedah ini pesakit yang
mempunyai masalah kesihatan didapati mempunyai tanda kemerahan dan
bengkak yang berkilat di bahagian kulit. Kulit pesakit juga akan
kelihatan kasar, tebal, berwarna hitam dan bertompok-tompok.
"Kaedah tekanan boleh digunakan dengan cara menekan bahagian tertentu.
Apabila tekanan dilakukan pada bahagian itu pesakit akan berasa sakit,"
katanya.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, bekam darah boleh dilakukan dengan
mencucuk kulit bagi membolehkan darah kotor disedut keluar menerusi tiub
khas. Rawatan ini dilakukan kira-kira 20 minit bergantung kepada
ketahanan individu dan seelok-eloknya dilakukan pada waktu tengah hari
kerana ketika itu urat saraf berkembang.
"Pelanggan dinasihat tidak mengambil sebarang makanan dua jam sebelum
melakukan sesi berbekam dan begitu juga mandi. Selain itu, mereka juga
digalakkan berehat selepas menjalani sesi rawatan.
"Kelebihan mengamalkan bekam darah adalah ia menjanjikan kesegaran tubuh
serta-merta sekali gus mengembalikan keserian kulit. Ini kerana darah
yang keluar menerusi kulit adalah darah kotor yang sudah lama tersimpan
di bawah lapisan kulit. Darah inilah yang menyebabkan pelbagai penyakit
dalam badan," katanya.
Noraini berkata, bekam darah juga dapat mengurangkan migrain dan masalah
senggugut serta endometriosis serta melancarkan peredaran darah
tersumbat. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit akan
menyebabkan rasa berat dan malas justeru berbekam akan melancarkan
peredaran darah semula.
Antara kebaikannya lain ialah membantu menajamkan penglihatan dan
menangani pelbagai penyakit iaitu 72 jenis penyakit seperti ketegangan
urat, darah tinggi, kolesterol, sembelit, tekanan dan buah pinggang.
Menjelas lanjut mengenai amalan bekam, Noraini memberitahu beliau juga
menawarkan rawatan bekam angin digunakan untuk membuang angin dalam
badan. Biasa dilakukan dengan menyedut angin menggunakan sejenis alat
berbentuk pistol dan disedut menerusi bekas kaca.
Bagi Noraini, bekam angin dilakukan ke beberapa bahagian badan pesakit
seperti di pangkal tengkuk (bagi menghilangkan pening dan migrain), bahu
(bagi mengurangkan tekanan), belikat dan pinggang.
"Kebaikan bekam angin ialah membantu membuang angin dalam badan serta
melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan, membantu memecahkan lemak,
peluh serta melegakan demam, membantu memulihkan ketegangan urat leher,
belikat, pinggang dan urat sendi di kaki, mencegah kebas kaki dan
membantu meredakan serangan angin ahmar," katanya.
Menggunakan kaedah rawatan moden, Noraini memberitahu sebelum melakukan
bekam pada pelanggannya, tubuh yang bakal disuntik dengan jarum
disapukan dengan minyak bagi melembutkan permukaan kulit.
Selepas itu, barulah melakukan bekam luncur iaitu dengan menolak bekas
kaca ke atas dan bawah. Jika pelanggan mengalami rasa pening, bekam
harus diberhentikan serta-merta.
"Lazimnya bekam dilakukan secara ganjil iaitu lima, tujuh atau sembilan
dan berikutnya. Buat pelanggan yang baru mencuba, saya tidak
menggalakkan mereka lakukannya secara serentak atau berlebih-lebihan
kerana khuatir mereka tidak biasa dengan hasil tindak balasnya dan boleh
menyebabkan mereka pengsan.
"Oleh itu, mereka perlu tenang dan bagi mereka yang mengalami tekanan, saya tidak galakkan mereka lakukannya.
"Seiringan itu, selain mengamalkan 10 titik bekam yang harus dilakukan
iaitu pada kepala, bawah telinga kiri dan kanan, leher, tulang bahu kiri
dan kanan, pinggang kiri dan kanan serta bawah lutut kiri dan kanan
mengikut Sunnah Nabi, saya juga lakukannya mengikut permintaan
pelanggan. Darah kotor yang keluar dari tubuh bukan saja membantu
menyihatkan tubuh badan, tetapi sebaliknya mengembalikan keremajaan
kulit tidak kira lelaki mahupun wanita"
Boleh dilakukan seawal usia tujuh tahun, Noraini berpendapat amalan
berbekam seelok-eloknya diamalkan dua kali sebulan agar tubuh kembali
sihat di samping penjagaan kulit.
No comments:
Post a Comment