Hidup kita di dunia yang sementara ini
 adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Anggaplah pengalaman 
lama sebagai iktibar dan kita harus bersyukur kerana kita masih hidup 
dalam keadaan beriman. Kita diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan 
memiliki rezeki yang tidak putus-putus. Masih mampu berfikir dan masih 
mampu melaksanakan kewajipan kita kepada Allah s.w.t.  Maka tanda kita 
bersyukur dan meredhai Allah s.w.t maka kita perlulah baik sangka dengan
 Allah dan menganggap qadha' dan qadar yang telah berlaku itu yang 
paling baik Allah tetapkan untuk kita. Dengan keyakinan ini akan hilang 
perasaan kecewa, putus asa, forbia, truma, takut, bimbang, risau, 
gelisah dan ragu-ragu. 
Hati orang Mukmin tidak pernah 
takut apa yang akan ditetapkan Allah s.w.t. untuk masa depannya. Kekasih
 kita yang Maha Berkuasa akan beri dan pilih sesuatu yang baik dan Dia 
akan menambahkan lagi rezeki dan akan sentiasa menjaga kita dari bala 
dan bencana dan sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan dan amal-amal
 soleh. 
Sekiranya kita diuji dengan 
penyakit maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk kita 
sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan penyakit itu pada 
diri kita. Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang 
pernah kita lakukan kepada Allah s.w.t. 
Kifarah adalah balasan Allah di 
dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian
 Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang 
dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada 
penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap 
bergantung kepada ketentuan (qadha’) Ilahi atau buat selama-lamanya 
sehingga mati. 
Selagi ketentuan (qadha’) bagi 
sakit itu belum menepati qadha’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak 
akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas disini 
membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri
 biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak 
akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan. 
Sesungguhnya, apabila Allah 
s.w.t. itu mengaishi seseorang hamba Ia akan mengujinya. Dan apabila Ia 
mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah 
akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, 
kesabaran adalah paling utama. 
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"  (Surah az-Zumar: 10). 
Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.”  (Hadis riwayat Al Bukhari) 
Selain ubat, do'a juga penting 
untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdo'a bererti memohon kepada Allah 
yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha 
Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada 
Allah. 
Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan
 apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka 
sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang 
berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.” 
Allah s.w.t. menetapkan martabat
 seseorang pada maqam-maqam tertentu. Namun amalan-amalan yang dilakukan
 olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk 
membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah akan 
mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, 
kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila 
diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba 
berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah 
terhadap hambanya yang dikasihi. 
Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Tidak
 menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun 
lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu 
dosa." (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan
 orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai
 tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan 
kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah 
bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik 
amalan yang pernah dilakukan semasa sihat." 
Tidak dinafikan bahawa setiap 
sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan 
tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang 
dapat diterima akal rasionalnya, qadha’ dan qadar Ilahi itu mengandungi 
rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia. 
Marilah sama-sama bersyukur, 
bersabar dan bertawakkal kepada Allah. Hati dan jiwa orang Mukmin akan 
sentiasa tenang dan damai apabila Allah s.w.t menjadi rujukannya. Segala
 permohonan, permintaan dan rintihan hanya ditujukan kepada Allah. Apa 
yang berlaku pada dirinya atau pada keluarganya semuanya baik belaka 
kerana dia yakin Allah tidak akan meningalkan dirinya keseorangan. 
Hatinya sentiasa mengingati Allah dan lidahnya sentiasa berzikir memuji 
keagongan-Nya. Dia mengharap redha Allah samaada di dunia dan hari 
akhirat.

No comments:
Post a Comment