Jual Beli Salam

JUAL BELI SALAM

Definasi

Menurut istilah hukum syarak, jual salam ialah menjual sesuatu benda yang belum ada di hadapan mata, tetapi ditentukan sifat-sifat dan kadarnya.

Syarat-syarat Barang Yang Dijual Salam

Sesuatu barang atau benda hendak dijual secara salam itu disyaratkan :
  1. Boleh dianggarkan sifatnya, ertnya ada sifat-sifat yang boleh dibuat anggaran dan perbezaan dengannya.
  2. Tidak bercampur dengan benda-benda lain yang menyebabkan sukar hendak membuat anggarannya.
  3. Barang itu hendaklah tidak tertentu. Tidak boleh seperti kata penjual : “Saya jual salam kain ini kepada saudara.”
  4. Barang itu tidak berhad pada satu tempat saja.
  5. Barang itu hendaklah sesuatu yang sah dijualbeli.

Syarat-syarat Sah Akad Jual Salam

Syarat-syarat sah akad jualbeli salam ialah :
  1. Hendaklah dijelaskan jenis dan sifat-sifat penting bagi barang yang hendak dijual itu.
  2. Hendaklah dijelaskan juga kadarnya.
  3. Hendaklah ditetapkan masa tempoh untuk mendapatkannya.
  4. Hendaklah barang itu boleh didapati bila sampai tempoh yang ditetapkan.
  5. Hendaklah barang itu biasa didapati, bukan jarang-jarang didapati.
  6. Hendaklah ditetapkan tempat menerimanya.
  7. Hendaklah dibayar tunai harganya.
  8. Akad jualbeli ini terus berjalan kuatkuasanya, ertinya tidak sah jika disyaratkan khiar.

Peringatan

  1. Bila diserah barang itu sebagaimana yang disifatkan di dalam akadnya atau lebih baik lagi, wajiblah menerimanya.
  2. Kalau barang itu terkurang dari apa yang telah disifatkan, harus menerimanya, tetapi tidak wajib.

Hikmah Jual Beli Salam

Di antara hikmat-hikmat diharuskan jualbeli secara salam ialah :
  1. Untuk memberi kemudahan kepada anggota masyarakat menjalankan urusan perniagaan.
  2. Untuk menanamkan perasaan tolong menolong di antara satu sama lain.

Budipekerti Dalam Jual Beli Salam

Di antara budipekerti dalam jual salam, ialah :
  1. Masing-masing hendaklah bersikap jujur dan tulus ikhlas serta hendaklah amanah dalam perjanjian-perjanjian yang telah dibuat.
  2. Penjual hendaklah berusaha memenuhkan syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.
  3. Pembeli janganlah cuba menolak barang-barang yang telah dijanjikan itu dengan membuat berbagai-bagai alasan palsu.
  4. Sekiranya barang yang dibawa itu terkurang sedikit daripada syarat-syarat yang telah dibuat, masing-masing hendaklah bertolak ansur dan mencari keputusan yang sebaik-baiknya.



    No comments:

    Post a Comment