Apakah Penyakit Gout?
Gout disebabkan
oleh urik asid yang berlebihan di dalam darah. Mendapan kristal urik
asid (monosodium urate) di persekitaran sendi ataupun di dalam sendi
menimbulkan keradangan yang menyebabkan sakit sendi.
Mengapakah urik asid berlebihan di dalam darah?
Metabolisma dan pengendalian urik asid yang tidak seimbang, samada
pengeluaran yang berlebihan atau kegagalan buah pinggang untuk
menyingkirkannya, mengakibatkan urik asid yang berlebihan.
Ketidakseimbangan
ini mungkin berpunca daripada faktor keturunan, kandungan purin yang
tinggi dalam makanan, obesiti, pengambilan alkohol yang berlebihan,
kerosakan buah pinggang dan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti
ubat diuretik dan aspirin.
Apakah yang berlaku kepada urik asid yang berlebihan?
Urik asid yang berlebihan boleh mendap di dalam sendi menyebabkan
keradangan sendi. Mendapan ini sekiranya berpanjangan akan menyebabkan
pembentukan ‘tophi’ dan batu karang di buah pinggang.
Kandungan urik
asid yang tinggi dalam darah tanpa menyebabkan keradangan sendi
dinamakan “hyperuricemia”. Keadaan ini tidak memerlukan rawatan ubat.
Namun begitu, risiko untuk menghidap gout adalah lebih tinggi berbanding
dengan mereka yang mempunyai tahap urik asid yang normal. Oleh itu
langkah-langkah pencegahan adalah amat penting untuk golongan pesakit
ini.
Apakah yang berlaku jika penyakit ini dibiarkan berlanjutan?
Serangan sakit sendi yang berulang kali boleh mengakibatkan kerosakan
sendi dan menjejaskan fungsinya. Mendapan urik asid yang berlebihan akan
membentuk ‘tophi’ di jari, siku, tangan termasuk cuping telinga.
Mendapan urik asid di buah pinggang yang membentuk batu karang boleh
meningkatkan risiko jangkitan kuman dan juga kegagalan buah pinggang.
Oleh itu, pesakit dinasihatkan agar mendapat rawatan awal untuk
mengelakkan komplikasi ini.
Bagaimana gout dikesan?
Penyakit ini boleh dikesan melalui pemeriksaan fizikal, khususnya
pemeriksaan sendi. Pemeriksaan cecair sendi akan menunjukkan kristal
urik asid. Ujian darah dapat menentukan tahap urik asid. Pemeriksaan
X-ray & USS dapat menunjukkan kerosakan pada tulang sendi tetapi
sekiranya dilakukan pada peringkat awal, ia mungkin kelihatan normal.
Bilakah serangan Gout boleh berlaku?
Serangan gout boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab yang ketara.
Keadaan tertentu boleh menyebabkan serangan gout. Contohnya:
• Kekurangan air di dalam badan atau berpuasa.
• Makan makanan kaya purin secara berlebihan.
• Minum alkohol berlebihan.
• Kecederaan kepada sendi.
• Selepas pembedahan.
Tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit gout
• Sakit sendi berlaku secara tiba-tiba, terutama di ibu jari kaki,lutut dan pergelangan kaki.
• Sendi menjadi bengkak.
• Sendi menjadi panas, merah dan teramat sakit.
• Demam.
No comments:
Post a Comment