Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.
Pengertian nasihat
Agama Islam adalah agama Allah,
dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya.
Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah
daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati
hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang
tidak baik.
Adab-adab memberi nasihat
1. Meluruskan niat sebelum
menasihati seseorang supaya tidak ada yang
berasa disakiti. Ikhlas menasihati
saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin
memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong
kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan
kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke
jalan yang benar.
2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak
diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka
berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati
saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan
orang yang dinasihati.” Islam mengajar
umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat
perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang
yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.
3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa
yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang
kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat
kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita
lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan
perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya
selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan
sebaiknya.
4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya
mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan
kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan
tahu apa puncanya mereka begitu.
5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati
untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa
untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam
lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan
berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah
dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin
ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
Ayuh semua sahabatku, kita
renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang
telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada
orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini?
Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.
No comments:
Post a Comment