DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani daripada Abu Umamah,
Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : “Pergilah kepada
hamba-Ku. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu
mendengar suaranya.”
Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah memerintahkan malaikat-Nya yang
tidak pernah derhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah perintahkan
kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan cubaan kepada
hamba-hamba-Nya.
Dengan cubaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba
itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati
hamba-Nya.
Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan
kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang
sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan
semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, ia
adalah salah.
Melalui hadis di atas, Allah mengingatkan bahawa kesenangan dan
kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunnatullah.
Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan cubaan daripada Allah.
Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannnya.
Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan.
Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka ia perlu dinilai
ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku
diri beriman. Tentulah Allah akan menguji sejauh mana keimanan mereka
terhadap-Nya. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Apakah
manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah
beriman, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).
Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan
sesungguhnya iman itu bukanlah sebuah kata-kata yang diucap, malah iman
adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang
mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran
dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan.
Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: “Kami telah beriman.” Mereka
tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian
dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar
daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk
memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal
kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya
dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak pada hati hati
manusia.
Dalam ayat lain, Allah menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia
dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan cubaaan. Firman Allah
bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi
itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara
mereka yang terbaik amal perbuatannnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7-8. Ayat
ini menjelaskan bahawa tujuan Allah mendatangkan pelbagai ujian ke atas
hamba-Nya untuk menilai siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang
terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah.
Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak berupa kesusasahan,
kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada
kerana ujian dan cubaan akan datang kepada mereka dalam bentuk
kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan
oleh-Nya bermaksud: “Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan
kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah
al-Anbia, ayat 35).
Sebenarnya ujian Allah ke atas hamba-Nya dengan nikmat harta kekayaan
dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian
dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa ramaikah orang
yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana
gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya.
Kekayaan yang dimiliki diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi bermaksud: “Sesungguhnya
bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan.”
Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan,
hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki
segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud:
“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika
menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat
kembali.” (Surah al-Alaq, ayat 6-8)
Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap
mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas
mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang
dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah kepada hamba-Nya.
Rasulullah bimbang umatnya yang diulit dengan kemewahan yang tidak
ingatkan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana
kemewahan. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
“Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan
tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana
yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang
dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya
umat terdahulu.”
Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan
dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud:
“Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum
lelaki kecuali godaan kaum wanita.”
Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai
akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim,
beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan
pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan tergelincir
daripada landasan yang benar.
Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan antara manusia
ada yang berkata: Kami beriman kepada Allah. Tetapi apabila mendapat
gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap
gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang
pertolongan daripada Allah; mereka pasti akan berkata: Sesungguhnya kami
berserta dengan kamu (kaum mukmin).
“Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada
manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan
benar-benar mengetahui orang yang munafik.” (Surah al-Ankabut, ayat
10-11.
Oleh itu, sekiranya diuji Allah hendaklah kita bersabar kerana dengan
bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan dosanya. Ini
dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi
bermaksud: “Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik
lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi
dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.”
Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah turunkan ke
atas hamba-Nya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh,
anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat, akidah dan
sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Tujuan
Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang yang benar-benar
beriman dengan-Nya, untuk menghapuskan dosa hamba-Nya dan menguji
kesabaran hamba-Nya supaya benar-benar menjadi seorang Muslim
berkualiti.
No comments:
Post a Comment