Kegawatan dipadang Mahsyar


Makhluk dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan yang menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras akan berkarat dan menjadi reput, makanan dan lauk pauk yang segar menjadi basi, anak-anak remaja akan pudar kejelitaan dan ketampanannya dimamah oleh usia tua, akhirnya menemui ajal.  Dunia yang kita duduki dan diami  pada hari ini pun juga semakin tua. Suasana yang berlaku ini bukanlah terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda-petanda awal bahawa  seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik yang dinamakan kiamat.

Tiupan sangka kala pertama bermulanya  kiamat. Manakala tiupan sangka kala yang kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam AS sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat. Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh kita sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan.

Kedahsyatan kiamat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah at-Takwir ayat 1-3:Maksudnya:Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)”.

Kebangkitkan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil “Padang Mahsyar” untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia. Setiap sudut Padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama-sama mengharungi hari hisab.

 Menurut Imam Ghazali: “Padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang maha luas, saujana mata memandang yang keluasannya tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh.”

Pada dataran putih yang maha luas itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau kesana seperti binatang ternakan yang keluar dari kandangnya  atau seperti kanak-kanak yang baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian. Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Abu Hurairah RA berkata beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan para sahabat bahawa manusia di Padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk,
Pertama: manusia yang dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka,
Kedua: manusia yang berjalan kaki dan
Ketiga: manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah.
Di gambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada “di bumi al-Mahsyar ,” masing-masing sibuk dengan hal tersendiri. Ada yang berjalan, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk  bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira tetapi malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air itu didekatkan ke bibir maka daging bibir itu luruh berguguran kerana air terlalu panas.
Persoalan besar timbul di kalangan ahli di Padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran Mahsyar itu?, tidak siapapun yang tahu. Ada pendapat mengatakan berada di Padang Mahsyar itu selama 300 tahun mengikut tahun akhirat. Perit derita di alam Mahsyar itu mereka  sudah merasa terlalu lama berada di situ, dalam tangis dan keluhan yang tidak henti-henti. Namun mereka tetap dalam keadaan membisu tanpa sepatah kata, tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Dalam keletihan yang tidak terhingga dan rasa lapar serta dahaga yang menghiris kerana sengsara ratusan tahun di Padang Mahsyar, tanpa ada sebutir makanan atau setitik air, maka kedengaran di kalangan mereka yang berkata, “ tidak adakah di kalangan kita yang boleh mengadu dengan Tuhan agar disegerakan hukuman?. Ada juga supaya cadangan mendapatkan syafaat atau pertolongan daripada nabi Muhammad SAW. Ketika dalam keadaan gawat inilah baru teringat kepada nabi Muhammad SAW sedangkan semasa di dunia langsung tidak mempedulikan ajaran Rasulullah SAW, malah memperlekehkan Rasulullah SAW.

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy itu antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT. Golongan al- Muqarrabun itu ialah merujuk kepada mereka semasa hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang Allah samada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah bahawa setiap manusia di Padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya , disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian-bahagian tubuh yang kecil pun ditanya akan apa yang telah dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda:Bermaksud:“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal empat perkara: tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang masa mudanya untuk apa digunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang apa amalan yang telah dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?”(At-Tirmizi)

Umat Islam sekalian insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di Padang Mahsyar amat dahsyat yang memakan masa ratusan tahun. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang yang terbuka ini, untuk melakukan muhasabah diri,  sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan membuat penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan as-Sunnah.  Muhasabah ini penting supaya buku rekod  catatan amalan akan menunjukkan amalan yang cemerlang di Padang Mahsyar dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Buku rekod amalan yang baik akan diberi melalui tangan kanan. Manakala mereka yang mempunyai buku rekod yang penuh dengan dosa maka buku rekod diberi melalui tangan kiri.

Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 42-43:Maksudnya: Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.

No comments:

Post a Comment